Bagi melengkapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran ejen-ejennya, Etiqa Insurance dan Takaful memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans dengan kerjasama UUM.
BUKAN mudah untuk menjadi seorang ejen sebuah syarikat insurans. Ejen tersebut bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dan penampilan yang meyakinkan bagi memasarkan jenama yang diwakili, pengetahuan mengenai produk dan juga syarikat perlu dikuasai.
Peka dengan keadaan semasa dan memahami risiko dalam pasaran menjadi penambah nilai agar ejen mampu mencapai sasaran jualan.
Dengan kesedaran bahawa ejen-ejen harus mempunyai pengetahuan secara ilmiah dalam bidang itu, Etiqa Insurance dan Takaful memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans.
Ia bagi meningkatkan daya saing syarikat di pasaran negara dan antarabangsa. Bukan sahaja itu ia juga bagi meletakkan ejen tersebut di satu tahap yang tersendiri yang bukan sahaja berpengalaman tetapi berpelajaran.
"Kami mewujudkan program ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan profesionalisme ejen-ejen kami.
"Bukan sahaja ia akan membantu ejen-ejen memberi perkhidmatan yang terbaik dengan kelulusan ini ia mampu meningkatkan perkembangan diri dan menambah baik taraf hidup mereka," kata ketua pengarah eksekutifnya, Datuk Aminuddin Md Desa.
Program itu yang merupakan usaha sama Etiqa dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan program jarak jauh dengan kelas akan diadakan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan.
UUM akan menyediakan silibus dan juga tenaga pengajar manakala Etiqa menyediakan para pelajar. Ejen-ejen akan berdaftar sebagai pelajar UUM dan perlu mematuhi undang-undang seperti pelajar lain. Sekiranya gagal dalam sesuatu subjek mereka harus mengulang semula bagi melengkapkan jam kredit.
...baca lanjut di Kosmo